CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

14 October 2012

" Selamat hari lahir, abang.. "

Farah Zahid | 16:09 |
Salam sejahtera ke atas sekalian kamu...


Di rumah. suami dan isteri. rukun dan damai.
namun ketenangan rumahtangga mereka telah diuji menjelang ulangtahun kelahiran si suami.
pertengkaran berlaku seawal mereka bangkit dari tidur.
tidak dapat dikenalpasti apa punca dan siapa yang memulainya.
sang suami melontarkan hujah-hujah, sesekali berkeras dengan pendiriannya.
di hujung katil kelihatan si isteri. diam tanpa sepatah kata.
berlalu meninggalkan si isteri, sang suami bergegas menyiapkan diri. keluar pergi mencurah bakti dan mengeluar keringat demi mencari rezeki.

isteri bangun. merapati meja solek tempat suaminya berdiri merapikan rambut.
sang suami sekadar menjeling. belum sempat si isteri menghulur tangan membuka mulut, sang suami terlebih dahulu ringan kaki melangkah keluar tanpa sebarang bunyi.
dari dalam bilik mereka, terdengar bunyi pintu dibuka dan ditutup. kasar.
enjin kereta mula mengaum. lama-kelamaan semakin menjauh dan menghilang.
si isteri terpaku. kelihatan air jernih bergenang di mata, laju menuruni pipi mulus miliknya.


hari semakin petang. senja merangkak tiba. malam bakal berlabuh.
di dapur, si isteri bertungkus lumus menyiapkan hidangan istimewa untuk kekasih hati.
wajahnya kini berbeza. terpancar kegembiraan, biarpun permulaan hari ini tidak begitu baik.
dia berharap sang suami kembali ceria dan tidak marah-marah seperti tadi.

kepulangan suami disambut isteri, namun tiada tanda si dia mahu berbaik seperti sediakala.
terus sahaja kaki sang suami menaiki anak tangga menuju ke kamar kelamin.
ah, masih saja begitu. desis hati si isteri. mengeluh.

di ruang rehat, jarum jam menunjukkan angka 11. malam semakin lewat. sengaja dia memasang televisyen, bukan niat mahu menonton. setakat menutup durja di hati.
perlahan-lahan bangun dan menutup suis televisyen. lambat-lambat menaiki anak tangga. walhal cuma kedapatan 8 anak tangga yang perlu dipijak sebelum sampai ke kamar beradu milik dia dan sang suami.

si isteri tiba di depan kamar, menolak daun pintu perlahan. dikuak seminima mungkin agar tidak mengganggu sang arjuna. sepi. kelihatan sesusuk tubuh di atas katil.
sudah tidur suamiku yang seorang ni. hati kecilnya berbicara sendirian.
menuju ke kamar mandi, membersihkan dirinya untuk seketika.
usai, si isteri mengenakan pakaian untuk tidur, lantas berbaring di tilam empuk.
mengambil tempat di sebelah sang suami yang berbaring bertentang dengan dirinya.
dia mengusap wajah sang arjuna yang lena diulit mimpi. lalu membisikkan sesuatu.
si isteri berbaring semula dan mengadap sang suami tercinta. terukir senyuman di bibirnya.
semoga hari esok dan mendatang membawa ceria dan sinar bahagia.

subuh pagi itu, sang suami terjaga awal. dilihatnya baru 5.30 pagi. menjeling ke arah si isteri yang tidur nyenyak. menarik selimut yang menyelubungi tubuh isteri hingga ke paras dada.
sang suami bangkit lantas pergi membersihkan diri bersiap untuk menghadap Tuhan yang Maha Menciptakan.
selesai menunaikan kewajipan, dia memanggil isteri kesayangannya untuk bangun. berkali-kali panggilannya tidak disahut. sang suami menghampiri si isteri. rapat. lalu menyentuh bahu dan mengejutkannya perlahan-lahan. tiada respons.
dikejutkan pula dengan cara mengusap-usap lengan isteri, menepuk-nepuk lembut pipi si isteri. masih tiada sebarang pergerakan.
memegang tangan isterinya, sejuk. tangannya menyentuh dahi, pipi, dan leher si isteri.
juga sejuk. sang suami kaget. terasa mindanya menerawang entah ke mana.
sekejapan, sang arjuna mulai menitiskan air mata.
barulah dia mengetahui, sang ratu hati telahpun kembali ke hadrat Ilahi.
belum sempat menyuakan permohonan maaf, si isteri pergi meninggalkannya sendirian tanpa sebarang pesanan. arjuna sedikit kesal.
" Ya Allah, ampunkan aku. betapa kerdilnya aku di sisi Engkau. seketika benar Engkau pinjamkan aku seorang isteri kekasih hati, pengubat lara, peneman sunyi untuk diriku.
Ya Allah, Kau peliharalah isteriku di sana. Kau ampunkanlah dosa-dosanya selama hayatnya. semoga dia tetap tenang dalam perjalanan untuk bertemu denganMu. "

sang suami berdiri. menghampiri meja solek di sisi katil. tangan mencapai handphone. namun tumpuannya hilang untuk menelefon. tertancap mata ke arah sekeping kertas. seseorang telah menulisnya. sang arjuna membaca tekun. dan kali ini, mata putihnya semakin merah, air mata tidak dapat ditahan-tahan lagi. kedengaran kuat esakannya.



notakaki :
hargailah insan-insan yang berada di sekeliling diri kamu selama hayat masih ada.
nescaya sedikitpun kamu tidak akan berasa kesal apabila mereka bepergian meninggalkan kamu untuk selamanya.

1 comment:

terima kasih sebab sudi komen di entri ini,
sila datang lagi untuk memberi komen.

(^o^)

Entri Popular

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright Reserved © 2010-2015 musafir-di bumi-Tuhan. Powered by Blogger.