CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

24 June 2013

Jerebu! Apa pandangan Islam?

Muhammad Akmal | 01:23 | | |


Bismillah.


Assalamu’alaikum.


Lama dah tak buat pengisian untuk blog ni, dah berhabuk. Sebenarnya saya masih ada hutang menulis sambungan artikel. Saya harap tak ada siapa yang marah. Hehe. Tapi, kali ini pun saya tulis bukan sebab nak sambung, tapi sebab kesian tengok bulan Jun. Maksud saya, entry untuk bulan Jun belum ada lagi, jadi saya taknak bulan Jun merajuk…


Penulisan bawah ni saya ambil saja dari satu page FB, - Who Stands for Islam? – dengan sedikit edit. Sebabnya, pada saya huraiannya istimewa. Oleh sebab isu jerebu masih famous, –malah sebenarnya makin teruk- jadi kita cuba kaji apa puncanya jerebu dan bagaimana Islam menyelesaikan masalah jerebu. Ini pun penulisan 4 hari lepas (20/6/2013), jadi minta maaf ya atas ketinggalan faktanya. Jemput baca…


. . .


ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, sepaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). [TMQ 30:41]





Jerebu Fizikal Kerana Jerebu Fikrah
==========================

Image : Sindiran dari Indonesia, tentang Jerebu – dikatakan bahawa pembakaran ladang adalah dilakukan oleh orang Indonesia tetapi dari Syarikat Malaysia dan Singapura.

Kualiti udara di beberapa kawasan di Johor, Melaka dan Selangor berada pada tahap tidak sihat apabila indeks pencemaran udara (IPU) mencatatkan bacaan melebihi 100.

Berdasarkan bacaan IPU di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga pukul 5 petang ini, kualiti udara di empat bandar utama Johor merosot dengan bacaan IPU yang tinggi iaitu Kota Tinggi (166), Larkin Lama (152), Muar (172) dan Pasir Gudang (168).

Turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah bandar raya Melaka iaitu 161 dan Bukit Rambai (118) serta di Banting, Selangor (144).

JAS dalam kenyataan di sini hari ini memberitahu, punca kemerosotan kualiti udara di kawasan-kawasan yang mencatatkan peningkatan bacaan IPU masih dipengaruhi pencemaran jerebu merentasi sempadan berikutan musim Monsun Barat Daya dan dijangka berterusan sehingga September ini.

Laporan imej satelit NOAA-18 dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) semalam menunjukkan peningkatan mendadak bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia iaitu 187 titik panas berbanding 113 kelmarin.

“Di Malaysia, sebanyak 26 titik panas dikesan melalui satelit NOAA-18 iaitu di negeri Johor (satu), Kelantan (dua), Pahang (lima) dan Sarawak (18),” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah JAS, Datuk Halimah Hassan berkata, JAS telah mengeluarkan Perintah Larangan Pembakaran Terbuka bagi kawasan di seluruh negeri Melaka, Selangor dan Johor berkuat kuasa serta-merta pada 19 Jun 2013 sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

“Kawasan-kawasan di seluruh negeri Selangor, Melaka dan Johor adalah kawasan larangan bagi melakukan sebarang pembakaran terbuka kecuali bagi aktiviti tertentu iaitu pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan, barbeku dan pembakaran gas mudah terbakar,” ujarnya.

Semua pihak digesa tidak melakukan pembakaran terbuka, membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,'' ujarnya.

Mereka yang disabitkan kesalahan melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan. [utusan.com.my]


Punca Pencemaran
----------------

1) Pembakaran dan kebakaran terbuka di kawasan Sumatra. Sehingga semalam ada 194 tiitik panas dari Sumatra.

2) Perubahan angin monsun Barat - Faktor angin barat laut dan angin barat daya yang bersilih ganti sebelum kekal untuk monsun barat daya sehingga November menjadi punca jerebu ini ditiup masuk dan menunjukkan bahawa ia merupakan permulaan yang tidak sihat kerana diramalkan kemarau akan berlaku dalam tahun ini.

Kalaulah benar bahawa Syarikat Perladangan dari Malaysia dan Singapura yang menyebabkan pencemaran mereka perlulah bertanggung jawab. Bukannya kita meletakkan kesalahan 100% kepada Saudara-saudara kita di Indonesia. 


Pencemaran – pandangan Islam secara umum.
-------------------------------------- 

Islam mengharamkan semua jenis ancaman dan gangguan terhadap individu, masyarakat mahupun umat. Gangguan ini boleh difahami dalam konteks pencemaran alam sekitar dan hukum yang diambil adalah sama dengan gangguan-gangguan dalam bentuk yang lain. Rasulullah Salallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda yang bermaksud:

‘Suatu perbuatan itu tidaklah boleh mengganggu atau merugikan orang lain dan tidak boleh dirugikan oleh orang lain’ [HR Ibnu Majjah]

‘Siapa sahaja yang mengganggu orang lain, maka Allah Subhanahu waTaala akan menimpakan padanya dengan perkara yang sama. Dan siapa saja yang membuat kesulitan terhadap orang lain, maka Allah akan menimpakan kesulitan ke atasnya’ [HR Ibnu Majjah]

Sekiranya sesebuah negara itu prihatin dengan penerapan hukum Allah, maka kejadian jerebu ini pasti boleh dielakkan. Pembakaran terbuka sudah pasti akan menyusahkan dan mengganggu pihak lain dan ini sudah tentu diharamkan. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, sebagai contoh di Indonesia atau di mana sahaja, sesebuah negara sewajarnya memastikan penggunaan cara alternatif dalam melapangkan hutan untuk penanaman. Sekiranya berlaku juga kebakaran, negara sewajarnya mengambil tindakan pantas dalam menghapuskan punca jerebu ini. Semuanya akan dilakukan atas dasar penerapan hukum syara’ yang diwajibkan keatas negara untuk menjalankannya. Namun apa yang kita perhatikan dalam kejadian jerebu kali ini, realitinya adalah jauh panggang dari api.

Begitu juga dengan pencemaran lain seperti pencemaran sungai, udara dan kejadian tanah runtuh yang begitu berleluasa di negara ini, ia seharusnya ditangani atas dasar penerapan hukum syara’ yang mewajibkan gangguan-gangguan ini dihilangkan. Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya:

‘Hendaklah seseorang itu tidak buang air kecil di dalam kolam air yang tidak mengalir, lalu mandi di dalamnya’ [HR As-Syeikhan, Abu Daud, An-Nasa’i dari Abu Hurairah]

Konteks hadis ini boleh dikiaskan kepada apa sahaja yang boleh mencemari persekitaran seperti bahan buangan industri dan lain-lain lagi.
Selain dari itu, penerapan hukum ini juga hendaklah dijalankan di dalam bentuk pencegahan. Pendidikan massa dalam aspek gangguan pencemaran ini perlu ditekankan agar rakyat, secara individu dan masyarakat akan turut sama memastikan bahawa gangguan-gangguan seperti pencemaran dan yang lainnya tidak akan dilakukan.


Sebagai kesimpulan.
-----------------
Masalah jerebu yang melanda negara memanglah sesuatu yang amat membimbangkan lebih-lebih lagi apabila kejadian ini membawa pelbagai implikasi terutamanya masalah kesihatan yang secara langsung memberi kesan kepada kita. Kebimbangan ini begitu merasuk diri kita sehingga kita lupa tentang hakikat jerebu yang lebih merbahaya yang wujud di dalam aqidah dan pemikiran umat hari ini.

Terdapat hadis dari Aisyah RadiAllahu’anha dari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud

‘Seorang muslim yang tertusuk duri atau yang lebih dari itu, maka Allah pasti akan menebus dosanya kerana musibah itu dan menggugurkan satu kesalahan darinya’

Sekiranya kita sakit akibat dari jerebu, sekurang-kurangnya kita boleh merasa tenang dengan implikasi hadis ini. Namun begitu, jerebu yang wujud di dalam pemikiran umat Islam boleh sahaja menjerumuskan kita ke neraka! Nauzubillahu min dzalik!

Jerebu pemikiran yang dimaksudkan adalah hilangnya pertimbangan di dalam diri umat hari ini bahawa penyelesaian permasalahan kehidupan ini seharusnya dikembalikan kepada hukum Allah. Tompok-tompok hitam sekularisme Barat, dengan bantuan tiupan angin monsun kapitalisme yang menghembus sepanjang tahun telah mengelabui pandangan umat hari ini tentang realiti sebenar kehidupan yang fana’ ini. Kita begitu mabuk dengan pemikiran Barat yang rosak sehingga lupa bahawa hanya kepada Allahlah akan kembali segala urusan.



Telah nampak fasad (kerosakan) di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [TMQ ar-Rum (30):41].


Petikan Kitab Tafsir
--------------------
Tafsir Al-Jalalain menghuraikan bahawa, “Telah nampak kerosakan di darat” maksudnya disebabkan terhentinya hujan dan berkurangnnya tumbuh-tumbuhan, “dan di laut” maksudnya di negeri-negeri yang banyak sungainya menjadi kering, “disebabkan perbuatan tangan manusia” maksudnya berupa perbuatan-perbuatan maksiat. Ungkapan yang bermaksud “supaya Allah merasakan kepada mereka” dapat dibaca لِيُذِيقَهُمْ dan لِنذِيقَهُمْ; ertinya supaya Dia/Kami merasakan kepada mereka “sebahagian daripada akibat perbuatan mereka” sebagai hukumannya “agar mereka kembali” bermaksud supaya mereka bertaubat daripada perbuatan-perbuatan maksiat.

Tafsir Ibnu Kathir memetik Abu al-‘Aliah berkata, “Barangsiapa mengingkari Allah SWT di muka bumi ini bermakna dia telah berbuat kerosakan di atasnya, kerana keadaan yang baik di bumi dan langit bergantung kepada ketaatan manusia terhadap Allah S.W.T”. Rasulullah S.A.W bersabda,

لَحَدٌّ يُقَامُ فِي الْأَرْض أَحَبّ إِلَى أَهْلهَا مِنْ أَنْ يُمْطَرُوا أَرْبَعِينَ صَبَاحًا

“Sesungguhnya hukum Hudud yang dilaksanakan di bumi lebih elok untuk ahlinya berbanding mereka diturunkan hujan empat puluh pagi” [HR Abu Daud].

Menurut tafsir Ibnu Kathir lagi, hal ini kerana jika dilaksanakan hukum hudud tersebut maka ia akan menjadi pencegahan daripada melanggar batas-batas sempadan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Tambahnya lagi, jika manusia meninggalkan maksiat kepada Allah S.W.T, ia menjadi penyebab untuk mereka memperoleh keberkatan di langit dan di bumi.

Inilah pandangan Islam secara umum dalam menangani masalah pencemaran. Bukan sekadar mengwar-warkan ke sana-sini petikan kata-kata Karam Singh Walia, ‘hutan terbakar nampak berasap, hati terbakar siapa tahu’, sebaliknya, amat penting bagi umat Islam menyedari bahawasanya keuntungan dan manfaat bukanlah rujukan dalam penerapan syariat Islam untuk menyelesaikan masalah seperti ini. Keredhaan Allah merupakan tujuan utama penerapan hukum syara’ yang pasti akan membawa maslahah(manfaat) kepada seluruh umat manusia. Akan tetapi, penerapan hukum syara’ yang kaffah(menyeluruh), merangkumi seluruh aspek kehidupan, termasuklah dalam menangani masalah pencemaran, hanya boleh direalisasikan dengan berdirinya Daulah Khilafah Islamiyyah sebagai suatu kewajiban dan janji Allah yang pasti! 

Wallahua’lam.


p/s : Islam datang sebagai solusi, bukan hanya teori. Moga lebih ramai kembali pada penyelesaian Islam.


Entri Popular

Copyright Reserved © 2010-2018 musafir-di bumi-Tuhan. Powered by Blogger.